Ulasan Sebuah Filem : Gadoh (2009)
“Saya paling tak suka orang cina. Diorang ingat diorang bagus. Pijak orang melayu.”
“Orang melayu tak hormat orang cina punya. Kita terpaksa kerja kuat! Nak hidup! Nak belajar tinggi! Takde duit macamana nak berjaya?!!”
“Bangun pagi tak mandi pagi. Badan bau busuk!”
“Terlalu bangga dengan bangsa sendiri, tak habis-habis cari gaduh dengan bangsa lain.”
“Oi cina! lu jaga sikit lu punya mulut eh!! Lu menumpang je kat negara ini tau! Siapa yang suka cari gaduh!”
“Melayu suka komplen! Selalu cari salah orang lain! Salah sendiri tak nampak!”
“Melayu bodoh! Belajar tak pandai pun boleh masuk Universiti.”
Filem arahan bersama Brenda Danker dan Namron ini secara amnya mengisahkan perihal isu semangat perkauman (atau berani saya katakan “perpaduan”?) di negara bertuah kita ini. Malah melalui tagline, akan kita dapati bahawa ia cuba definisikan semula istilah “bangsa”.
Filem Gadoh (2009) ini terserlah sifat didaktiknya, oleh itu imej-imej yang dipaparkan terus (terikat dengan kenyataannya) dan mudah dihadam. Malah sejak dari mula cerita, saya perasan satu tenaga yang kuat—yakni semangat public service announcement (PSA). Sebab itu saya percaya bahawa filem ini adalah sebuah khidmat pesanan awam yang panjang (dan lemah kualiti realisme-nya; jika ada pun tenggelam timbul, tidak konsisten). Pabila ianya bersifat sebegitu, fungsi dan tujuan filem ini pasti-lah untuk menyampaikan mesej (atau kenyataan tetapnya).
Mungkin ada yang kononnya percaya bahawa filem bukan untuk beri mesej (kalau nak mesej guna SMS,) betul, tapi akhirnya ia akan bersifat exklusif. Kerana “kita” (cewah semangat kekitaan/kebangsaan) perlu lihat kepada siapa filem ini ditujukan, (walaupun menggunakan jalan mencabar/bukan arus perdana seperti televisyen). Rata-rata pemikiran audiens yang terjerat dengan semangat perkauman ini “belum” tiba ke tahap citizen of the world lagi. Oleh itu, provokasi terus dan mudah dihidangkan dan dalam masa yang sama, ia mengorbankan nilai-nilai pengertian dalam filem. Tapi saya tak peduli pun, sebab kalau Gadoh ini menggunakan pendekatan ala Kaki Lima yang “*seni” itu, haram tiada seorang pun faham.
Dalam konteks sinema, bagi saya filem ini biasa, boleh dijangka dan selamat, (ia fokus, tanpa merewang jauh.) Tapi dalam konteks “hubungan manusia sesama manusia” di negara kita ini pula, filem sebegini perlu bagi menjentik kesedaran. Saya syak sesiapa yang menonton filem ini paling kurang sepatutnya bangkit sedar, samada mereka sedia menerima atau menolak—idea perkauman itu sendiri. Dan dari sinilah muncul pendapat dan pegangan masing-masing. Tapi dalam diam, seperti biasa, pasti ada juga yang tidak berpendirian (malas berfikir) umpama lalang. Mereka sekadar mahu selamat dan lawaknya, mereka inilah yang paling bahaya sebenarnya.
Walau bagaimanapun ada satu babak yang mampu memberikan pengertian yang berbeza (tidak didaktik) iaitu babak di mana Khalil (lakonan Zahiril Adzim) sedang salin baju di dalam tandas, tiba-tiba sekotak rokok terjatuh masuk ke dalam lubang jamban. Kenapa?
Semestinya ia petanda tak baik (cuma ia tidak konvensional macam pinggan jatuh di dapur,) kerana syot selepas itu, kawannya Zahir (lakonan Amerul Affendi) telah dilemaskan ke dalam kolam lalu dipukul. Sebelum semua itu juga, ada babak Heng (lakonan Nicholas Liew Davis) dan Khalil sedang hisap rokok bersama di dalam tandas. Merokok bersama ini menguatkan simbol “kawan” tadi. Dan bercakap tentang isu perkauman, rokok itu sendiri simbol jitu anti-perkauman, kerana rokok tidak memilih kaum atau warna kulit, bukan? Kembali kepada idea keseluruhan filem ini yang secara nyata menyindir karenah penguatkuasa, begitu juga dengan simbol rokok! (Jika kamu faham maksud saya.) Walau bagaimanapun ia dalam bentuk bayang-bayang dan mungkin hanya sekadar imaginasi terlampau saya semata-mata.
Daripada keseluruhan filem ini, babak ketika pelajar-pelajar kelab teater ini meluahkan perasaan masing-masing sangat berkuasa dan berkesan. Betul-betul depan muka, in your face bak kata orang putih.
“**Cina masuk neraka!”
Walau bagaimanapun persembahan akhir dan resolusi yang dicapai mengendurkan ketegangan bentuk filem ini. Ini kerana tenaga persembahan teater itu terputus pabila ia dirakamkan melalui medium filem. Ini boleh kita rasai ketika Heng dan Khalil bergaduh sambil lampu merah menyala. Sebagai filem, kesannya tidak terasa, teksturnya rata.
Saya boleh berkompromi dengan filem "PSA" ini kerana ia dekat dengan masyarakat kita. Tapi itulah, ada juga yang melihat filem ini tak ubah seperti “rumah kaca” semata-mata. Maknanya mereka memutuskan serta menafikan apa yang mereka tonton. Mereka hadam ia tak lebih daripada sekadar hiburan semata-mata. Ini pelik, serius. Lebih memelikkan jika mereka ini mampu relate dengan filem seperti Twilight, apa kes?
Secara peribadi, isu perkauman ini hanyalah topeng ketakutan buat marhaen jahil semata-mata. Melalui ketakutan (fear) baru wujud kuasa untuk berkuasa di kalangan borjuis (terutama yang perasan berdarah biru itu.) Sebab masalah sebenarnya adalah pemecahan kelas/strata. Seni dan sukan boleh menyatukan warna kulit, tapi bolehkah seni dan sukan menyatukan kelas/strata?
Nur
* Jari hantu!
** Apa jadah kaum disabitkan dengan kepercayaan, kah kah kah.
2 comments:
nur:
sebenarnya dah lama nak tgk.. cari punye cari nasib baik jmp...
sebelum tgk cerita ni, ada seorang cina dengan saya.. saya kata dengan die.. die patut tgk crita ni.. saya nak dgr pandangan dr die pulak.. mana lah tau die tak blh trima.. kita mana tau hati org kan???
ulasan kamu ni, menjawab persoalan mengapa rokok tu jatuh dan dibiarkan saja... pemikiran saya masih belum sampai ke tahap rokok menggantikan pinggan...
pada part last filem ni.. baru tersedar pasa siapa sebenarnya filem ini ditujukan.. mereka2 yang duduk dalam dunia hipokrit bg saya.... haih...
p/s: saya tak pandai mengulas.
cerita ni memang bagus untuk ditonton secara berjemaah supaya masing2 mendapat kesedaran...sebenarnya terjadinya perkara seperti di dalam filem gadoh ini adalah disebabkan oleh "KERAjaan" kita sendiri...peace
Post a Comment